Suspek kes bunuh bekas ADUN ditembak mati

CHUKAI: Selepas hampir tiga tahun diburu, penjenayah paling dikehendaki polis di Pantai Timur, Keri Pok Jeng akhirnya ditembak mati di FELDA Neram Satu, dekat sini, hari ini.

Keri atau nama sebenarnya, Syukri Mohamad Abiah, 37, terkulai selepas dua biji peluru mengenai kepala dan dadanya dalam aksi berbalas tembakan, kira-kira jam 4.30 pagi.

Polis percaya penjenayah ini bertindak sebagai pembunuh upahan dan suspek dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Alias Abdullah pada 9 Oktober 2015.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, sebelum kejadian sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Terengganu menerima maklumat berhubung seorang penjenayah bersembunyi di sebuah rumah dalam pembinaan di situ.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan itu, polis kemudiannya pergi ke kawasan itu dan ketika cuba membuat tangkapan, suspek dikatakan bertindak melepaskan tembakan kepada anggota polis.

"Polis kemudiannya membalas tembakan itu dan sebaik selesai berlaku tembakan dan membuat pemeriksaan polis dapati suspek telah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati lelaki itu merupakan penjenayah yang dikehendaki dengan melakukan jenayah melebihi 12 kes termasuk kes bunuh, jenayah kekerasan, culik, mendatangkan cedera dan sebagainya, "katanya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Mohd Fadhil Minhat dan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim.

Fazlisyam berkata, hasil pemeriksaan polis berjaya menemui sepucuk pistol semi automatik masih berisi sebutir peluru yang digunakan suspek serta sebilah parang.

"Polis menemui 16 kelongsong peluru termasuk yang dilepaskan suspek dan polis di lokasi kejadian dan suspek mula terbabit dengan jenayah pada tahun 2001 iaitu mendatangkan cedera dan ugutan jenayah.

"Suspek terlibat dengan banyak kes jenayah sehingga dia dikehendaki polis di negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Menyedari dia menjadi buruan polis, suspek yang berasal dari Pasir Putih Kelantan, sering berpindah randah dan menyembunyikan diri bagi mengelak ditangkap polis, " katanya.

Katanya, suspek melakukan jenayah bersendirian dan tidak menyertai mana-mana kumpulan jenayah dan hanya menyembunyikan diri di dalam negara.

"Polis percaya suspek terlibat dengan kes tembak mati seorang bekas ADUN dan dengan tumpasnya suspek, polis berjaya menyelesaikan banyak kes yang membabitkan suspek," katanya.
Suspek kes bunuh bekas ADUN ditembak mati Suspek kes bunuh bekas ADUN ditembak mati Reviewed by kraken san on Monday, September 10, 2018 Rating: 5
Powered by Blogger.