Nenek maut ketika ambil cucu pulang dari sekolah

DUNGUN: Seorang nenek maut, manakala tiga cucu parah termasuk seorang kritikal selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2.5, Jalan Dungun - Durian Mentangau, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.15 petang, Sarifaf Ali, 58, maut di tempat kejadian manakala cucunya, Muhammad Dinie Khalish Mohd Shamrizal, 7, dilaporkan kritikal.

Dua lagi cucunya, Awang Kucik Zarkoni Mohd Shamrizal, 9, dan Fatin Hanani Mohd Shamrizal, 11, cedera parah.

Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dari arah Dungun ke Durian Mentangau dipercayai terbabas selepas melalui satu selekoh di situ.

Kereta terbabit dikatakan berpusing dan memasuki laluan kanan jalan lalu merempuh motosikal yang ditunggangi nenek dan tiga cucunya itu.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang parah di kepala dan badan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang selepas Sarifaf mengambil kesemua cucunya itu yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau.

“Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Nenek maut ketika ambil cucu pulang dari sekolah Nenek maut ketika ambil cucu pulang dari sekolah Reviewed by kraken san on Wednesday, September 12, 2018 Rating: 5
Powered by Blogger.