Hukum solat Jumaat jika bertembung dengan Hari Raya

Hukum Solat Jumaat jika Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari yang sama.

Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat. Mereka masing-masing mengemukakan hujah.

1. Solat Jumaat tetap wajib sekalipun telah dilakukan Solat Hari Raya. Ini kerana solat Jumaat asalnya adalah wajib berdasarkan nas. Justeru, sekalipun sudah dilakukan solat Hari Raya, solat Jumaat tetap wajib. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian daripada Hanabilah. Dalilnya seperti berikut:

# Umum ayat yang memerintahkan supaya melaksanakan solat Jumaat dan banyak khabar atau hadith yang menunjukkan kewajipannya. Begitu juga dengan solat Jumaat adalah wajib yang tidak mungkin gugur salah satu dengan yang lain sama seperti Zohor bersama solat Hari Raya. [Lihat al-Mughni oleh Ibn Qudamah (2/358)]

# Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud:

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, barangsiapa yang ingin maka dia (solat sunat hari raya) adalah cukup baginya daripada (solat) Jumaat, adapun kami, menghimpunkan (lakukan kedua-duanya).” [Riwayat Abu Daud (1073) dan Ibn Majah]

Wajah dalalahnya adalah bahawa Nabi SAW tetap melakukan solat Jumaat.

# Daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa: “Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: Hai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan.” [Riwayat al-Bukhari]

2. Hukumnya sunat Solat Jumaat bagi mereka yang telah melaksanakan Solat Hari Raya. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanbali.

Antara dalilnya ialah:

# Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” [Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi]

Hadith ini ditafsirkan dengan keharusan meninggalkan Jumaat bagi yang telah melakukan solat Hari Raya terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke pedalaman atau desa. Ini berdasarkan nas Rasulullah SAW yang menyebut (فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ) yang memberi maksud sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat.

# Daripada Zaid bin Arqam RA katanya:

صَلَّى النَّبِيُّ - صلى الله عليه وسلم - الْعِيدَ, ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ, فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ

“Nabi SAW telah melakukan solat Hari Raya kemudian memberi keringanan kepada solat Jumaat seraya bersabda: ‘Siapa yang mahu solat maka solatlah.” [Riwayat Ahmad (18831), Abu Daud (1070), al-Nasaie (1591), Ibn Majah (1310) dan Ibn Khuzaimah (2/359) dan beliau mensahihkannya]

Hadith ini menunjukkan memadai bagi sesiapa yang solat Hari Raya untuk tidak solat Jumaat tetapi hanya solat Zohor.

Antara alasan kenapa memadai salah satunya kerana kuatnya penyamaan antara dua solat iaitu solat Hari Raya dan solat Jumaat kerana kedua-dua dilakukan dua rakaat dengan bacaan yang jahar atau nyaring. Begitu juga terdapat dua khutbah. Disamping perhimpunan yang besar.

Perkataan rukhsah menunjukkan hadir untuk solat Jumaat adalah sunat semata-mata.

# Daripada Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, katanya:

أن معاوية بن أبي سفيان رضي الله عنه سأله: هل شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: كيف صنع؟ قال: صلى العيد ثم رخص في الجمعة، فقال: (من شاء أن يصلي فليصل)ل

“Mu’awiyah bin Abi Sufiyan bertanya Zaid bin Arqam RA: ‘Adakah engkau menyaksikan bersama Nabi SAW dua perayaan yang berhimpun pada satu hari? Jawabnya: Ya. Dia bertanya lagi: Bagaimana Nabi SAW lakukan? Jawabnya: Baginda SAW solat hari raya kemudian memberikan kelonggaran dalam solat Jumaat, sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang mahu solat maka solatlah.” [Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’ie, Ibn Majah, al-Darimi dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan katanya: Hadith sahih sanadnya dan dia mengikut syarat Muslim serta dipersetujui oleh al-Zahabi. Imam Nawawi dalam al-Majmu’ berkata: “Sanadnya baik.”]

Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut: “Ini kerana telah tertahqiq maksud untuk mendengar khutbah Hari Raya justeru memadai daripada mendengarnya buat kali kedua. Ini kerana waktunya satu pada pandangan mereka iaitu pada masa yang keenam. Justeru, gugurlah salah satu daripada dengan yang lain seperti solat Jumaat bersama solat Zohor.” [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 2/1420]

# Daripada Ibn Umar R.Anhuma berkata:

اجتمع عيدان على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم فصلى بالناس ثم قال: (من شاء أن يأتي الجمعة فليأتها ، ومن شاء أن يتخلف فليتخلف

“Telah berhimpun dua hari raya (Jumaat dan Hari Raya) pada zaman Rasulullah SAW lantas Nabi sembahyang bersama orang ramai kemudian bersabda: ‘Siapa yang mahu datang berJumaat maka silalah, dan siapa yang mahu pulang maka silalah.” [Riwayat Ibn Majah dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir]

# Daripada ‘Atha’ Rahimahullah katanya: “Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (Ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas R.Anhuma berada di Ta’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah.” [Riwayat Abu Daud]

# Daripada Wahab bin Kisan katanya: “Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Ibn al-Zubair, dia lewat keluar sehingga hari sudah tinggi, kemudian dia keluar dan berkhutbah, panjang khutbahnya, kemudian dia turun dan solat, dan dia tidak solat bersama orang ramai pada hari Jumaat.” [Riwayat al-Nasaa’ie]

Tarjih:

Kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mewajibkan solat Jumaat sekalipun terdapat dalil yang sebaliknya. Ini kerana

i) Dalil yang menggugurkannya tidak kuat. Seperti hadith Zaid bin Arqam dianggap sebagai dhaif. Ini kerana pada sanadnya terdapat Iyas bin Abi Ramlah yang dianggap sebagai majhul.

ii) Rasulullah SAW sendiri melaksanakannya dengan menyebut (وإنا مجمّعون) dan sedangkan kami tetap melaksanakan solat Jumaat.

iii) Rukhsah diberi kepada golongan yang jauh dan pedalaman. Hal ini perlu difahami realiti dan waqie ketika itu solat Jumaat hanya dilakukan di masjid utama sahaja seperti di Madinah. Justeru, bagi mereka yang jauh jarak perjalanan akan menyukarkan bagi mereka.

iv) Sebaliknya, hampir disetiap kampung dan kawasan mempunyai masjid yang memungkinkan seseorang itu pergi dengan mudah dan senang.

v) Solat Jumaat adalah salah satu daripada syiar Islam yang apabila ditegakkannya sudah barang tentu menampakkan gahnya Islam itu sendiri.

vi) Berdasarkan kaedah "الخروج من الخلاف مستحب" (keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan). Kaedah seperti ini juga terdapat dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah: " والأفضل له حضورها خروجا من الخلاف" (Dan yang lebih afdal baginya adalah menghadiri Jumaat kerana keluar daripada khilaf).
Hukum solat Jumaat jika bertembung dengan Hari Raya Hukum solat Jumaat jika bertembung dengan Hari Raya Reviewed by kraken san on Thursday, June 14, 2018 Rating: 5
Powered by Blogger.