Kenyataan media Exco Terengganu berhubung isu pelancong berbikini

Bismillah

Saya ingin menarik perhatian umum berkenaan dengan satu laporan berita yang disiarkan oleh Free Malaysia Today yang bertajuk “Exco: Kerajaan PAS Terengganu Tidak Halang Pelancong Berbikini yang disiarkan pada hari ini, Khamis 21 Jun 2018.

Saya mengucapkan terima kasih kepada FMT yang bersedia mempromosikan Negeri Terengganu kepada seluruh pembaca. Sebagai memberi kefahaman yang lebih jelas berkaitan isi temuramah ini, saya suka menegaskan bahawa:

1.Kerajaan Negeri Terengganu dalam melaksanakan peraturan mengamalkan konsep Kasih Sayang yang iaitu akan melihat peraturan sedia ada yang dibuat oleh kerajaan terdahulu dengan mengekalkannya, jika sudah baik, sebelum mengubah ataupun menambahbaik kepada peraturan baharu dan bukannya terus menolak semua yang ada. Oleh itu saya menyebut “Setakat ini, kita mengekalkan peraturan sedia ada”. Kita baru mentadbir negeri sebulan lebih. Oleh itu kita tidak akan bertindak gopoh dan gelojoh.

2.Kerajaan Negeri Terengganu akan menyelesaikan masalah-masalah yang ada secara berperingkat, toleransi dan harmoni melalui dialog, perbincangan dan sudah tentu rujukan daripada Islam. Islam tidak pernah mengenepikan hak bukan Islam. Contohnya, Islam tidak pernah memaksa wanita bukan Islam bertudung, tetapi pastinya mereka tidak boleh sewenang-wenangnya berpakaian yang tidak senonoh di tempat awam. Dalam temuramah, saya tidak menyebut isu berbikini secara khusus, mungkin wartawan terkhilaf.

3.Bertindak daripada ini, Kerajaan Negeri Terengganu sedang menyiapkan Dasar Pelancongan Negeri yang tidak drastik atau menekan pelancong-pelancong bukan Islam dan bakal memberikan ruang yang secukupnya kepada mereka menikmati keindahan semulajadi negeri Terengganu tanpa rasa bimbang.

Saya berharap isu ini difahami oleh dua golongan iaitu golongan yang gopoh untuk melihat perubahan dalam sekelip mata agar jangan menganggap Kerajaan Terengganu akan mengabaikan peraturan dan keindahan adab dan golongan kedua yang mahu memburukkan Kerajaan Negeri supaya bertindak seperti kerajaan ala Taliban. Kerajaan Negeri akan mendahului sikap toleransi dan dialog. Kerajaan akan bergerak dengan dakwah dan pembangunan insan akan diteruskan.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu
7 Syawal 1439/21 Jun 2018
Kenyataan media Exco Terengganu berhubung isu pelancong berbikini Kenyataan media Exco Terengganu berhubung isu pelancong berbikini Reviewed by kraken san on Thursday, June 21, 2018 Rating: 5
Powered by Blogger.