Tangan Remaja Dipotong Kerana Minta Gaji

Islamabad - Seorang remaja berusia 13 tahun kudung selepas tangannya dipotong majikan yang berang apabila dia meminta makanan dan gajinya.

Menurut media tempatan, remaja dari keluarga miskin itu berkerja dengan seorang wanita dikenali sebagai Shafqat Bibi dengan bayaran 3,000 rupee (RM124) sebulan untuk menjaga ternakan dan melakukan kerja rumah di kediamannya di Punjab.

Minggu lalu, remaja itu enggan melakukan kerja kecuali dia diberi makan dan dibayar gaji, lapor 24 News HD.

Bagaimanapun, Shafqat dilaporkan berang dan terus menyumbat tangan mangsa ke dalam mesin dedak untuk ‘mengajarnya.’

Ibu mangsa berkata: “Shaf qat menuduhnya mendesak mahukan wang tanpa menyiapkan kerjanya.”

Mangsa dikejarkan ke hospital tetapi doktor tidak dapat menyelamatkan tangannya yang hancur.

Menurut laporan media, polis pada mulanya enggan mengambil tindakan terhadap Shafqat, tetapi ibu mangsa melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa sehingga mendapat perhatian Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif, yang mengarahkan polis terbabit memberi tunjuk sebab.

Shafqat akhirnya ditangkap bersama abang dan dua suspek lain, 10 hari selepas kejadian.

Wanita itu dibebaskan dengan jaminan tetapi abangnya masih ditahan reman.

Ketua Hakim Pakistan, Mian Saqib Nisar mengambil alih kes itu kelmarin dan mengarahkan polis Punjab menyerahkan laporan mereka dalam tempoh 48 jam.
Tangan Remaja Dipotong Kerana Minta Gaji Tangan Remaja Dipotong Kerana Minta Gaji Reviewed by Unknown on Friday, May 12, 2017 Rating: 5
Powered by Blogger.